Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Malaysia bukan negara sihat – Khairy

ByBernama

KUALA LUMPUR, 11 Nov : Malaysia dianggap sebagai negara bukan sihat memandangkan jumlah rakyatnya yang menghidap penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata , kesedaran tentang aspek kesihatan dalam kalangan rakyat juga masih berada pada tahap rendah.

“Kalau tanya saya sebagai Menteri, adakah Malaysia negara sihat sekarang? Tidak. Kita antara negara dengan kadar tertinggi dari segi obesiti, sakit jantung dan, antara punca kematian COVID-19 di negara ini adalah sebab sebahagian besar daripada pesakit mengalami komobiditi atau penyakit kronik. 

“Bayangkan di Malaysia, seorang daripada dua rakyat terlebih berat badan atau obesiti, termasuk diri saya, manakala seorang daripada empat rakyat Malaysia tidak amalkan kecergasan. Selain itu, hanya seorang daripada 20 rakyat mengamalkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul. 

“Mengikut statistik rasmi juga, setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan. Saya percaya angka ini sebenarnya masih rendah daripada realitinya,” katanya semasa beliau menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 hari ini. 

Oleh itu, dalam merealisasikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Khairy berkata rakyat Malaysia perlu mengubah sendiri tingkah laku mereka serta meningkatkan kesedaran bagi melahirkan negara dan rakyat yang sihat secara sukarela tanpa mengharapkan kementeriannya atau kerajaan semata-mata.

Beliau berkata aspek perubahan tingkah laku penting serta kesedaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri menjadi inti pati ANMS.

“Kalau kita nak harapkan Kementerian Kesihatan sahaja untuk pantau prosedur operasi standard (SOP) dan keluarkan kompaun, memang tak cukup tangan. Kita nak negara berjaya dari segi pengurusan pandemik ini,” katanya sambil memberi contoh Jepun yang berjaya menguruskan pandemik menerusi tingkah laku tanpa perlu mengeluarkan kompaun.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan ANMS yang merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19.

Agenda ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030 dengan pelaksanaan yang dibahagikan kepada dua penggal iaitu penggal pertama bermula pada 2021 hingga 2025 dan penggal kedua bermula pada 2026 dan berakhir pada 2030.

Sementara itu, Khairy berkata satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang menghimpunkan semua kementerian yang terlibat bagi melaporkan langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk menzahirkan ANMS pada peringkat kementerian.

Beliau berkata, selain mengambil kira faktor kesihatan diri rakyat, agenda itu juga meliputi kesihatan kualiti pengudaraan yang melibatkan bangunan baharu dalam usaha mencegah COVID-19 yang boleh dijangkiti melalui udara. – Bernama

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan