Oleh Haris Zainuddin dan Akma Salleh
KUCHING, 12 NOV: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang dilancarkan secara rasmi semalam akan memfokuskan bidang pengajian yang menjadi keperluan negeri ini untuk memacu ekonominya ke arah berpendapatan tinggi bersandarkan sektor- sektor berpotensi.
Pengerusinya, Dr. Annuar Rapee berkata, Sarawak memerlukan tenaga kerja profesional termasuk bidang kejuruteraan di pelabuhan – pelabuhan yang terdapat di negeri ini.
Sehubungan itu katanya, UTS yang merupakan universiti penuh milik kerajaan negeri akan memfokuskan bidang pengajian berkenaan.
” Bidang industri pelabuhan dan perkapalan di sini dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka memerlukan sekitar 2,000 jurutera dan inilah aspek yang diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan susulan  Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) di Sibu yang dianugerahkan status universiti penuh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada hujung tahun lepas.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam melancarkan institut pengajian berkenaan yang kini dikenali sebagai UTS.
Mengulas lanjut, Dr. Annuar yang Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak berkata, kerajaan perlu peka serta bersedia mengenai jenis pekerjaan yang diperlukan di negeri ini untuk melonjakkan kemajuannya.
” Oleh itu, wujud persoalan apakah UTS dapat memenuhi mandatnya dalam menghasilkan tenaga kerja profesional di kalangan anak tempatan yang diperlukan oleh Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Dr. Annuar berkata, UTS juga disasarkan supaya dapat memenuhi keperluan pengajian tinggi untuk rakyat negeri ini dan seterusnya bergerak memasuki senarai universiti -universiti terbaik dunia.
” Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Sarawak telah menawarkan pelbagai jenis biasiswa dan bantuan kewangan bagi menyokong anak – anak muda yang ingin menyambung pengajian tinggi mereka,” katanya.
Dasar berkenaan katanya direalisasikan dengan pelaburan mencecah ratusan jutaaan ringgit membina UTS.
“Sehubungan itu, segala fasiliti di universiti ini dimanfaat oleh seluruh anak Sarawak, bukan hanya kepada orang yang mampu bayar untuk ke UTS,” katanya. -TVS