KUALA LUMPUR, 9 Sept : Kerajaan mungkin akan melaksanakan pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 di negara ini bagi membendung penularan kes jangkitan yang sedang berlaku di beberapa negeri ketika ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, situasi di Sarawak menunjukkan peningkatan kes yang tinggi walaupun kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa di sana mencecah 87.9 peratus.
Ujar Khairy Jamaluddin, beliau sudah mengarahkan supaya laporan cadangan berhubung perkara itu disediakan supaya dapat dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan datang.
“Kita tidak menolak (untuk memberikan dos suntikan vaksin tambahan). Selepas mesyuarat JKJAV minggu depan, saya akan berbincang dengan Kerajaan Sarawak tetapi ketika ini mereka telah mula memvaksin golongan remaja di negeri itu bagi meningkatkan liputan vaksinasi secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beberapa negeri kini mengalami peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 dengan paling ketara di Sarawak apabila mencatatkan kes melebihi 3,000 sejak beberapa hari lalu dengan jumlah tertinggi dicatatkan 3,714 tiga hari lepas.
Perlis yang turut mempunyai tahap vaksinasi tinggi turut merekodkan kes mencecah tiga angka buat kali pertama hari ini iaitu 108 kes positif sejak pandemik melanda negara ini.
Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, perkembangan berkenaan berkemungkinan disebabkan pengurangan keberkesanan vaksin setelah program berkenaan dilaksanakan selama beberapa bulan di Sarawak.
“Perkara sama juga dapat dilihat di beberapa negara yang sudah mencatatkan pemberian vaksin yang tinggi seperti Singapura dan Israel. Terdapat juga negara yang sudah memberikan dos tambahan kepada rakyat mereka,” katanya.
Sementara itu , Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini turut memperkenalkan laman sesawang baharu iaitu CovidNow yang menyediakan data lebih telus kepada rakyat.
Laman berkenaan sudah boleh dilayari pada6 petang semalam menerusi alamat https://COVIDNOW.moh.gov.my. -TVS