BAU, 9 Sept : Menyedari kelemahan capaian Internet di kawasan pedalaman, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru menyediakan tiga pusat menawarkan internet percuma di Daerah Bau.
Pusat-pusat tersebut ditubuhkan khas untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menetap di kawasan DUN Tasik Biru.
ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata inisiatif ini akhirnya dapat dilaksanakan memandangkan perkhidmatan Unifi sudah diwujudkan dan stabil di daerah ini.
“Kemudahan ini akan disediakan di tiga lokasi iaitu Pusat Khidmat N2 Tasik Biru untuk kawasan pekan Bau dan kawasan berdekatan, seterusnya di 1 Singai untuk kawasan Singai dan Tondong serta Heritage Cafe untuk kawasan Jagoi dan yang berdekatan.
“Kami juga akan membekalkan pakej kelajuan internet yang terbaik dan terpantas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Setiap pusat dianggarkan mampu menampung lebih kurang 20 hingga 40 pelajar dalam satu masa.
Akuinya, kemudahan tersebut tidak menelan perbelanjaan yang tinggi dan mampu dibiayai pihaknya secara percuma.
“Perkara yang ditekankan adalah pematuhan Prosedur Operasi Standard yang penuh disiplin dan setiap pelajar hendaklah lengkap dua dos vaksin COVID-19,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk mempercepatkan proses penyambungan Unifi serta memastikan rangkaian internet yang diberikan stabil sepenuhnya.
“Pelajar IPT di kawasan DUN Tasik Biru dipelawa mendaftar untuk mendapat kemudahan ini selain menganggar jumlah pelajar yang memerlukan kemudahan ini.
Sebelum ini, media melaporkan penularan video penuntut dari kawasan-kawasan pedalaman yang memanjat pokok, mendaki gunung semata-mata untuk mendapat talian Internet bagi menduduki peperiksaan atas talian.



