IPOH, 9 Sept — Seorang ahli perniagaan yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini Januari lalu kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal keselamatan sebuah kondominium, dihadapkan sekali lagi ke mahkamah hari ini atas pertuduhan membunuh, berikutan kematian mangsa pada bulan lepas.
Pertuduhan itu dipinda selepas polis mengklasifikasikan semula kematian pengawal keselamatan itu, yang diserang ketika bertugas di kolam renang di kondominium tersebut pada Disember tahun lalu, sebagai kes bunuh.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh S. Thava Sagayam, 64, di tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff, di sini antara pukul 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Dis tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sebelum ini Ahmad Noor Azhar didakwa mengikut Seksyen 355 kanun sama kerana menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah dan bagi pertuduhan itu, mahkamah hari ini melepaskan tanpa membebaskan tertuduh.
Mahkamah menetapkan 18 Okt untuk sebutan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein.
— BERNAMA