KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan 581 kes baharu COVID-19 telah direkodkan di Sarawak pada Ahad.
Kuching terus merekodkan kes jangkitan harian tertinggi iaitu sebanyak 263 kes diikuti Serian dengan 84 kes, Sri Aman (42), Samarahan (33), Bau (30), Bintulu (22), Sibu (21) dan Selangau (16).
Sementara Tatau (14), Miri (12), Lundu (12), Meradong (6), Asajaya (6), Kapit (4), Pusa (3), Lubok Antu, Subis, Tebedu dan Beluru masing-masing dua kes dan masing-masing satu kes di Sarikei, Simunjan, Saratok, Kanowit dan Telang Usan.
Jumlah keseluruhan kes positif kini meningkat kepada 81,328 kes.
Daripada 581 kes baharu yang dilaporkan, 514 kes tidak bergejala dan 67 kes bergejala.
269 daripada 581 kes yang dilaporkan melibatkan individu yang mempunyai kontak rapak kepada kes positif COVID-19, 109 kes melibatkan individu dalam kluster aktif sedia ada dan 52 kes pula daripada saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan.
Manakala 145 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan, tiga kes Import B individu balik dari Kuala Lumpur (2) dan Sabah (1) serta tiga kes Import A individu balik dari Indonesia (2) dan Singapura (1).
JPBN Sarawak turut memaklumkan tiada kes kematian dilaporkan pada Ahad dengan jumlah keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 kekal sebanyak 468 kes.



