KUCHING: Sarawak merekodkan tujuh lagi kluster baharu COVID-19 pada Ahad dengan empat daripadanya adalah kluster komuniti, dua daripadanya merupakan kluster tempat kerja dan satu melibatkan sebuah pusat penjagaan warga emas di Kuching, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
“Kluster pertama iaitu Kluster Lorong Merbau, Kuching, melibatkan beberapa keluarga yang tinggal di Lorong Merbau, Kampung Rampangi Fasa 2, Jalan Sultan Tengah.
“Kluster Kampung Pulo Ulu, Kuching dikesan di sebuah kampung di Jalan Kampung Panglima Haji Seman Ulu, Petra Jaya,” kata JPBN Sarawak dalam satu kenyataan.
Kluster Tamah Malihah, Kuching, pula dikesan melibatkan sebuah kawasan taman perumahan di Jalan Batu Kawa-Matang dan 176 orang telah menjalani saringan COVID-19.
Sementara Kluster Kampung Pandan, Lundu, melibatkan beberapa keluarga di sebuah kampung di Jalan Belungei, Pandan.
Dalam pada itu, Kluster Jalan Buan, Tatau, melibatkan sebuah restoran di Jalan Buan, Pasar Baru Tatau.
Seterunys, Kluster Jalan Ding Lik Kwong Dua, Sibu yang juga kluster tempat kerja, melibatkan kediaman sebuah syarikat pendawaian terletak di Jalan Din Lik Kwong, bandar raya Sibu.
Kluster ketujuh diisytihar, iaitu Kluster Jalan Stutong Baru, Kuching, pula dikesan melibatkan beberapa penghuni sebuah pusat penjagaan warga emas di Jalan Stutong Baru.
Selain itu, Kluster Kilometer 23, Jalan Puncak Borneo, Kuching diisytiharkan tamat pada Ahad setelah tidak merekodkan kes baharu dalam tempoh 28 hari yang lalu.
Setakat ini, jumlah kluster aktif di Sarawak adalah 89 kluster.
Daripada jumlah itu, 13 merekodkan penambahan kes baharu iaitu sebanyak 110.

