Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUCHING, 6 Dis -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menerima kunjungan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din di Wisma Bapa Malaysia hari ini. Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol (kanan). -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sarawak Mahu Jadi Pengeksport Hidrogen Utama – Abang Johari

KUCHING: Sarawak boleh menyertai kumpulan negara-negara pengeluar hidrogen menjelang 2050 sekiranya berjaya memanfaatkan potensi sumbernya untuk menghasilkan sumber tenaga boleh diperbaharu ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerajaan negeri secara serius telah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) hidrogen selepas mengkaji daya majunya untuk dihasilkan secara skala besar dan permintaan dunia yang semakin meningkat terhadap hidrogen sebagai sumber tenaga seperti yang diuar-uarkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

“Kajian Hidrogen EU menyebut dalam tempoh 2030 hingga 2050, pasaran hidrogen akan bernilai kira-kira US$11 trilion (US$1=RM4.08). Pada masa itu, Australia dijangka menjadi negara utama yang mengeksport hidrogen dan saya berpandangan Sarawak boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan itu,” katanya di sini, hari ini.

Semasa menjawab soalan di webinar mengenai Belanjawan 2021 Sarawak: Ke arah Masyarakat Berpendapatan Tinggi pada 2030 hari ini, beliau berkata kerajaan negeri memantau pembangunan hidrogen sejak tiga tahun lepas, apabila mengetahui penekanan Suruhanjaya Tenaga Antarabangsa kepada keperluan untuk mengawal pelepasan karbon dan pada masa sama menyediakan pengganti kepada bahan api fosil.

“Negara-negara lain nampaknya mengikuti rapat Sarawak. Akhir-akhir ini, kita menerima pernyataan minat oleh syarikat Jepun, Sumitomo dan Eneos, anak syarikat Nippon Oil, untuk mewujudkan loji hidrogen di Bintulu,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Negeri berkata syarikat minyak negara, Petronas, juga telah memulakan kerjasama dengan Sarawak Energy Bhd untuk menjalankan aktiviti R&D bagi pengeluaran hidrogen.

Beliau berkata negeri ini juga telah melaksanakan projek prototaip selepas mengkaji kaedah yang digunakan di negara lain yang telah mengeluarkan hidrogen sebagai bahan api, seperti di Jerman, Itali, Perancis, Korea Selatan dan Scotland.

 “Projek ini nampaknya agak berjaya walaupun kosnya masih tinggi. Saya perhatikan ia berdaya maju dan kita akan terus melaksanakan R&D ke atas subjek hidrogen khusus ini,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan