KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik, Perak, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia petang tadi akibat sakit jantung.
Muhyiddin menyifatkan kematian Hasbullah merupakan kehilangan besar kerana Allahyarham pernah menjadi setiausaha politiknya ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
‘’Selaku Setiausaha Politik, arwah telah memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politik saya, jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini.
“Banyak kenangan yang kami kongsi bersama. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat saya,’’ katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook malam tadi.
Beliau berkata sebagai seorang wakil rakyat, Allahyarham sentiasa membangkitkan isu dan hal berkaitan kepentingan rakyat di Parlimen.
Katanya, Hasbullah juga merupakan seorang yang peramah dan sikapnya itu membuatkan Allahyarham mudah mesra dengan ramai orang.
“ Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar wakil rakyat dan juga selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“ Semoga amalan baik Allahyarham diterima Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,’’ kata Muhyiddin.
Hasbullah, 63, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Raub, Pahang.
Allahyarham yang menjadi Ahli Parlimen Gerik sejak 2004 dilantik sebagai Pengerusi SPNB pada 11 Mei lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Gerik selepas menang dengan majoriti 5,528 menewaskan calon PAS, Mohd Dahalan Ismail dan calon Bersatu, Ibrahim Mohd Hanafiah.
— BERNAMA