PUTRAJAYA: Fasiliti di Kementerian Kesihatan (KKM) masih mencukupi untuk merawat pesakit COVID-19 yang semakin bertambah dan pada masa ini, tiada keperluan untuk membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM telah mengenal pasti beberapa hospital untuk menampung kes-kes COVID-19 yang semakin bertambah, termasuk menambah jumlah katil.
“Setakat ini kita menggunakan dua blok Insitut Latihan Kementerian Kesihatan yang sedia ada dan akan tambah kepada empat blok, termasuk meningkatkan jumlah katil yang sedia ada kepada 1,800 katil.
“Kita juga boleh tambah lagi kapasiti blok yang terlibat iaitu kalau kita guna satu bilik dua orang kita boleh dapat 4,200 katil,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Selain itu katanya, KKM juga menggunakan Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Angkatan Tentera, Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh dan blok lama untuk bersalin Hospital Kuala Lumpur, sebagai pusat kuarantin dan rawatan pesakit COVID-19.
“Sekarang ini kita menggunakan fasiliti-fasiliti KKM yang sedia ada, kalau terpaksa baru kita akan membuka hospital sementara di MAEPS,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata mengenai kadar kebolehjangkitan, buat masa ini R-naught dianggarkan lebih kurang 1.0.
“Kalau kita melihat unjuran kurang dari 1.1 kita harap dalam tempoh dua minggu lagi kita boleh kurangkan kebolehjangkitan kepada 0.5, tapi kita tidak akan berjaya kalau tidak ada kerjasama daripada orang ramai iaitu patuh pada prosedur operasi standard,” katanya.
Dalam pada itu, katanya KKM akan mempertimbangkan cadangan melakukan ujian saringan terhadap individu dari daerah zon merah yang melakukan perjalanan ke zon hijau, sebagai usaha melindungi negeri atau daerah yang berstatus hijau.
Selain itu, katanya KKM turut akan mempertimbangkan cadangan Johor dan Terengganu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sekiranya terdapat perkembangan baik dari kedua-dua negeri itu.
“Selepas 20 Nov, kita akan lihat kembali perkembangan di Dungun dan Johor. Kalau baik, kita pertimbang untuk kembalikan PKPP,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kementerian akan terus melihat langkah-langkah yang boleh melindungi negeri hijau.
“Insyaallah, kalau empat hari lagi perkembangan makin baik, negeri PKPP akan menjadi enam. Tindakan kita melindungi enam negeri ini dengan aktiviti kesihatan awam yang dikenal pasti,” katanya.
Buat masa ini, Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak dikategorikan sebagai negeri hijau dan diletakkan di bawah PKPP, manakala negeri lain adalah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
— BERNAMA