KEMBOJA, 21 Jun: Penyelidik mendakwa ikan pari gergasi yang ditangkap di utara Kemboja merupakan penemuan ikan air tawar terbesar di dunia.
Ikan itu berukuran 3.9 meter dengan berat mencecah 300 kilogram (kg) lapor Reuters.Â
Ahli biologi, Zeb Hogan dari Universiti Nevada berkata, tangkapan berkenaan sangat mengujakan kerana menjadi ‘ikan air tawar terbesar’ pernah ditangkap di dunia.
“Ini sekaligus menunjukkan ekosistem di Sungai Mekong, lokasi ikan berkenaan ditangkap masih sihat,”katanya.
Pakar itu memberitahu, sebelum ini pelbagai isu dibangkitkan berhubung tahap kebersihan sungai berkenaan namun ‘penemuan’ berkenaan memberi petanda sungai itu masih berupaya menjadi habitat pelbagai spesies.
Pasukan penyelidik antarabangsa dan nelayan tempatan melepaskan ikan berkenaan ke sungai selepas kerja- kerja mengumpul data selesai pada 14 Jun lepas.
Ikan betina itu dinamakan Boramy dalam bahasa Khmer yang membawa maksud bulan purnama kerana bentuknya yang bulat.Â
Alat akustik juga dipasang bagi membolehkan ahli biologi memantau tingkah laku dan lokasinya selepas ia dilepaskan semula ke dalam sungai.
Rekod Boramy ini sekaligus mengatasi ikan keli gergasi Mekong seberat 293 kg yang ditangkap di utara Thailand pada 2005. – TVS