BAU, 12 Jun : Premier Sarawak menyifatkan negeri ini dan Malaysia kehilangan seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan susulan pemergian Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai Abang Muhideen awal pagi tadi.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemergian Allahyarham Abang Ahmad Urai amat dirasai memandangkan figura itu merupakan pemimpin yang disegani.
Katanya, Allahyarham juga telah lama berkhidmat dan menyumbang bakti dalam kancah politik negara dan hal ehwal pentadbiran kerajaan.
“Sudah pasti kita merasai kehilangan besar.
“Saya rasa Allahyarham merupakan anak Sarawak pertama yang menjadi Yang Dipertua Dewan Negara selain cekal untuk memberikan khidmatnya kepada Sarawak,”katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Gawai 2022 dan Majlis Pelancaran Projek Bidayuh Cultural Centre Bau di sini, hari ini.
Abang Ahmad Urai, 89, menjawat jawatan Yang Dipertua Dewan Negara bermula 12 Julai 1988 sehingga 9 Julai 1990.
Di Sarawak, Allahyarham turut memberi sumbangan besar dalam pembangunan negeri ini apabila pernah dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Menteri Pertanian dan Masyarakat sehingga 1984.
Allahyarham juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak yang turut berkhidmat sebagai Senator di Dewan Rakyat. -TVS