KUCHING, 15 Nov: Kerajaan Sarawak terus komited menyalurkan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sarawak, kata Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Jelasnya, ia merupakan komitmen kerajaan dalam menghargai peranan dan sumbangan sekolah aliran Cina di Sarawak sejak sekian lama.
Malah jumlah pemberian geras khas itu telah meningkat setiap tahun sejak ia mula dilaksanakan pada 2015 semasa kepimpinan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Sejak era kepimpinan Tok Nan pada 2015, dana untuk sekolah menengah jenis kebangsaan Cina berjumlah RM3 juta dan sekarang meningkat kepada RM10 juta setiap tahun.
“Bukan sahaja dana, sekarang di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita diberikan tanah supaya kita dapat menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran RM1 juta di SJK Chung Hua Batu 11, Matang di sini, hari ini.
Hadir sama, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof dan Lembaga Pengerusi Sekolah SJK Chung Hua, Batu 11, Matang Bong Poh Fatt.
Menurut Dr Sim, pembiayaan dana dilaksanakan dengan sistematik menerusi lembaga yang ditubuhkan.
Penyaluran dana dibuat kepada pertubuhan itu selepas diusulkan kepada Abang Johari pada 2020 yang digunakan untuk membangunkan sekolah, menjalankan pelbagai program pendidikan.
“Dengan itu bermula tahun pertama kami mempunyai RM8 juta, tahun lepas RM10 juta dan tahun ini RM12 juta.
“Pembinaan semula sekolah kini adalah berdasarkan aliran tunai dan bukannya sekali gus, jadi kerajaan boleh bermula di banyak sekolah,” katanya. -TVS