OYA, 28 Mei : Pembinaan Galeri Warisan Melanau di sini sejak dua tahun lalu siap sepenuhnya dan akan dibuka kepada orang ramai bermula bulan depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau berbangga dengan projek berkenaan yang mempamerkan kekayaan budaya Melanau yang merupakan sebahagian daripada kekayaan khazanah Sarawak.
Katanya Muzium Budaya Melanau menyusul selepas Muzium Budaya Borneo yang merupakan muzium terbesar di Malaysia dan antara yang terbaik di Asia Tenggara dirasmikan baru – baru ini.
“Hari ini saya menerima permohonan daripada Dato Sri Fatimah Abdullah (Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat) yang meminta supaya kerajaan negeri membina satu lagi bangunan untuk menyimpan khazanah dan budaya masyarakat Melanau di sebelah galeri ini, jadi InsyaAllah kita akan bangunkan,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Galeri Warisan Melanau di Oya Square di sini hari ini.
Abang Johari berkata, tumpuan yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap aspek warisan dan budaya, Oya diyakini akan setanding dengan daerah lain di Sarawak yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Sementara itu, sempena perasmian berkenaan, Abang Johari turut meluluskan beberapa permohohan yang dibuat oleh Fatimah.
Antaranya termasuk projek sambungan Tebingan Sungai Dalat, Bangunan Pusat Komersial Oya, Dalat Butique Hotel dan Kompleks Pentadbiran Mini.
Katanya, sebelum memberi ‘lampu hijau’, beliau melihat aspek jangka masa panjang setiap projek yang diminta dan yakin ia mampu memajukan Dalat dan Sarawak secara holistik. -TVS