LUMUT, 5 Mei : Tiga individu cedera ringan manakala tujuh yang lain selamat selepas van dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Jalan Teluk Nipah, Pulau Pangkor petang Rabu.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada 5.02 petang.
“Kenderaan tersebut dinaiki 10 orang termasuk pemandu. Tiga daripadanya cedera ringan manakala bakinya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut jurucakap itu kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu van berkenaan hilang kawalan ke atas kenderaannya dan usaha mengeluarkan mangsa kemudian turut dibantu orang ramai.
Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pangkor dan operasi berkenaan tamat pada 5.25 petang, semalam. – TVS