KUALA LUMPUR, 1 Mei : Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan jantung terbuka di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, di Australia.
Sebelum ini, beliau ttelah disahkan mengalami masalah jantung yang jarang ditemui, dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur darah dari aorta di posisi yang janggal/ganjil (AAORCA).
Atlet berusia 34 tahun itu, yang juga atlet harapan untuk memunguit pingat emas negara pada Olimpik Paris 2024, berkata beliau telah menjalani pembedahan pembetulan selama tiga jam pada 21 April lepas bagi penyakit itu, yang membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.
Beliau akan terus menjalani pemulihan di Melbourne dan berkemungkinan hanya kembali menjalani latihan pada tahun depan.
Ini bermakna pemenang pingat Sukan Olimpik dua kali itu akan terlepas Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou pada tahun ini, tetapi berazam untuk bersaing pada temasya Sukan Olimpik Paris.
“Pasukan perubatan menasihatkan saya untuk melakukan pembedahan secepat mungkin kerana ia adalah situasi yang mengancam nyawa. Saluran (darah) saya tersumbat dan hanya tinggal 20 peratus sahaja mengalir, memang sangat minimum. Tambah pula kalau saya buat senaman berintensiti tinggi.
“Kalau saya bersara atau tak aktif pun saya masih perlu menjalani pembedahan dengan cepat kerana keadaan saya akan menjadi lebih teruk apabila saya semakin berusia. Apabila kita semakin tua, otot jantung akan makin menebal, akan menyempitkan lagi saluran yang terhimpit itu,” katanya pada sidang akhbar maya dari Melbourne hari ini. – TVS