Foto: Gambar tular di media sosial
PASIR GUDANG, 23 April : Tiga remaja lelaki maut manakala seorang lagi parah dipercayai berlumba sesama sendiri membabitkan tiga motosikal sehingga kemalangan di Jalan Delima, Taman Kota Masai, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia berumur lingkungan 15 hingga 16 tahun manakala yang cedera parah berumur 17 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam dipercayai ketika kesemua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal telah bersaing sesama sendiri sehingga bergesel dan berlaku kemalangan.
“Akibat daripada insiden tersebut, tiga mangsa telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di batu berumput bahu kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Â
Sehubungan itu, katanya orang ramai terutamanya ibu bapa dinasihati agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutamanya yang masih di bawah umur supaya tidak membenarkan mereka menunggang motosikal dan tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram. -TVS