PUTRAJAYA, 3 April : Bulan Ramadan bukan sekadar bagi umat Islam menjalani ibadah puasa namun menjadi platform terbaik untuk terus meningkatkan semangat Keluarga Malaysia melalui nilai toleransi, saling menghormati dan meraikan perbezaan dimiliki.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata Ramadan adalah bulan mendidik masyarakat menjadi insan sabar dan mempunyai nilai empati yang tinggi khususnya kepada golongan kurang bernasib baik.
“Atas semangat kebersamaan dan kesyukuran sebagai sebuah keluarga, pada bulan penuh kemuliaan ini marilah kita mengambil seberapa banyak kesempatan untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Halimah berkata pada 1 April lepas negara telah memasuki fasa endemik dan pelbagai kelonggaran diberikan termasuk penganjuran bazar Ramadan.
“Di sinilah kita akan melihat pelbagai kaum dan etnik sebagai sebuah Keluarga Malaysia berkunjung mendapatkan pelbagai juadah makanan dan minuman serta barangan keperluan. Namun, usahlah kita lupa dan alpa untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau juga mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam serta dapat mempertingkatkan amalan dan terpilih untuk bertemu dengan Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.-TVS