Kredit gambar: BBC
KUALA LUMPUR, 12 Mac: Konflik Rusia-Ukraine memasuki hari ke-17 hari ini, tanpa sebarang tanda gencatan senjata, menjadi pengajaran serta peringatan bahawa nasib negara-negara kecil boleh menjadi alat permainan geopolitik kuasa besar.
Sejak kejatuhan empayar Soviet, Ukraine mengumumkan kemerdekaan – cenderung ke arah Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), serta menjalin persahabatan dengan Amerika Syarikat (AS).
Bersempadan dengan kuasa besar Rusia, adalah wajar Ukraine bekerjasama rapat dengan Eropah dan NATO bagi mencari keseimbangan terhadap geostrateginya.
Tetapi Rusia melihat Ukraine sebagai prospek anggota NATO, tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang ancaman mengenai isu keselamatannya. Rentetan itu, maka tercetusnya benih konflik.
Badrul Hisham Ismail, Pengarah Program di IMAN Research, berkata terdapat pengajaran yang boleh dipelajari negara-negara kecil daripada konflik berkenaan.
“Negara-negara kecil perlu sedar bahawa jika terlalu bergantung kepada kuasa besar ia mungkin bukanlah strategi terbaik.
“Operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine kini bukan sekadar pertelingkahan dua pihak. Ia bukan hanya membabitkan Rusia dan Ukraine, tetapi melibatkan Rusia, NATO, Eropah, dan AS.
“Ukraine menjadi kambing hitam,” katanya kepada Bernama.
Berkongsi pendapat sama, Prof Dr Adam Leong berkata krisis Rusia-Ukraine memberi pengajaran kepada negara lebih kecil mengenai risiko yang ditanggung dalam membina hubungan bagi mengatur strategi balas.
Pengarah Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata percubaan Ukraine untuk menyertai NATO dan Kesatuan Eropah telah menimbulkan kebimbangan Rusia, membawa kepada campur tangan pada 2014 dan 2022.
Oleh itu, Leong menegaskan bahawa negara kecil yang mengambil pendekatan berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana negara adalah langkah baik agar tidak menarik perhatian yang tidak diingini.
Katanya, Malaysia harus kekal neutral di tengah-tengah pertelingkahan geopolitik dan “amalkan dasar luar negara yang seimbang.”
Dalam konteks ASEAN, Leong berkata adalah penting kumpulan itu terus membina hubungan neutral dengan kuasa besar di rantau ini.
Negara anggota harus menggunakan ASEAN sebagai badan yang mengurus dan mentadbir isu serantau, tambahnya.
Sementara itu, Badrul Hisham berpendapat bahawa krisis Rusia-Ukraine akan mengakibatkan persaingan kuasa besar – AS dan China – cuba membuat kehadiran mereka di Asia Tenggara lebih dirasai.
“Kita telah mengimbangi hubungan antara kedua-dua kuasa besar sejak sekian lama di rantau ini, dan saya fikir langkah itu akan berterusan buat masa ini.
“Jadi terpulang kepada kita untuk mengemudi secara bijak dan tidak terperangkap di tengah-tengah,” katanya.
Pada 24 Feb, Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan operasi ketenteraan khas ke atas Ukraine – tiga hari selepas beliau menandatangani dekri mengiktiraf kemerdekaan di wilayah pro-Rusia, Donetsk dan Luhansk, di timur Ukraine.
Sejak beberapa bulan lepas, NATO dan AS mendakwa Putin telah mengumpulkan lebih 100,000 anggota tenteranya di sepanjang sempadan Ukraine tetapi Pejabat Presiden (Kremlin) berulang kali menafikan sebarang niat untuk menyerang.
Rusia mendakwa negara-negara Barat menjejaskan keselamatannya melalui peluasan anggota NATO ke arah sempadannya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 549 orang awam terbunuh dan 957 lagi cedera di Ukraine sejak operasi itu dilancarkan.
Sementara itu, lebih 2.3 juta orang telah melarikan diri ke negara jiran. – TVS