Sambutan Tahun Baharu Cina di TVS bakal dimeriahkan dengan persembahan Raja Komedi Hong Kong, Stephen Chow yang akan ‘melawat’ rumah peminat untuk menyambut perayaan berkenaan.
Menerusi filem Justice, My Foot ! yang ditayangkan pada 1992, Chow membawakan watak Sung, seorang peguam yang enggan memiliki keluarga sendiri. Bagaimanapun segalanya berubah selepas Sung mewakili seorang penjenayah, dia memilih untuk berpencen daripada karier guamannya untuk menebus dosa silam.
Apakah dosa silam itu dan mengapakah Sung sanggup melepaskan kerjaya idamannya. Segalanya akan terjawab jika anda menonton filem ini yang turut membariskan aktres terkenal , Anita Mui dan Ng Man Tat. Filem ini juga memberikan ‘ang pau’ kepada Chow apabila dia berjaya merangkul anugerah pelakon terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik tahun berikutnya sekaligus mengukuhkan namanya sebagai aktor terkemuka antarabangsa.
Kehebatan Chow di layar perak tidak perlu dipertikaikan lagi apabila aktor yang kini berusia 59 tahun sering tampil dengan watak berbeza. TVS turut menghidangkan sebuah lagi karya hebat dibintangi Chow iaitu Love On Delivery.
Memegang watak seorang budak penghantar, Ho Kam An jatuh cinta dengan pelanggannya bernama Lily. Namun begitu, untuk meraih cinta si jelita itu bukannya mudah kerana dia terpaksa ‘bersaing’ dengan seorang lagi peminat wanita itu, si pembuli, Judo Master Black Bear. Bagi menarik perhatian Lily dan menunjukkan kejantanannya, Judo Master telah membelasah Kam An sehingga ‘patah riuk’.
Filem arahan Lee Lik Chi bergenre komedi romantik ini berjaya mencipta sensasi di seluruh Asia pada 1994 , turut menampilkan aktres jelita Hong Kong, Christy Chung.
Adakah Sung akhirnya memiliki keluarga sendiri? Bagaimana pula dengan Kam-An , adakah dia berjaya dalam pertarungan cinta dan mencuri hati Lily? Ketahui kesudahannya dengan menyaksikan tayangan Justice, My Foot ! pada hari pertama Tahun Baharu Cina dan Love On Delivery keesokan harinya. Kedua-dua filem evergreen ini ditayangkan pada pukul 12.30 tengah hari di TVS, saluran 122 Astro dan MYTV! -TVS