Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pemuda kekalkan warisan tradisi Melanau melalui terendak

ByAkma Salleh

DALAT, 21 Dis: Bermula dengan membantu ibunya membuat topi terendak, seorang pemuda dari sini menjadi antara segelintir belia yang masih berminat untuk meneruskan pembuatan topi tradisi kaum Melanau.

Fidelis Michael, 35 tahun, berkata beliau mula berjinak-jinak membantu ibunya menghasilkan terendak sebagai cara untuk mengisi masa lapang atau ketika beliau pulang bercuti ke kampungnya di Kampung Tanam di sini.

“Sebenarnya saya bekerja sebagai seorang chef pastri dengan sebuah syarikat carigali di Aruba, Kepulauan Carribean, dan setiap kali pulang ke sini, saya membantu ibu membuat terendak,” katanya.

Fidelis, yang berketurunan Melanau, berkata sudah tentu beliau mahu mengekalkan warisan budaya kebanggaan suku kaumnya daripada ditelan zaman kerana semakin kurang orang muda yang berminat membuat topi terendak.

Wanita Melanau giat membuat terendak di Dalat.

Terendak, yang juga dikenali sebagai ‘tapou’ atau ‘serao’ dalam bahasa Melanau, merupakan topi pelindung yang diperbuat daripada daun palma bukit, buluh dan juga rotan, dan boleh mencapai harga ratusan ringgit setiap satu, bergantung kepada gred dan kerumitan pembuatannya.

Yang menariknya, topi ini turut bertindak sebagai perisai kerana ia dapat melindungi pekebun daripada kecederaan. kerana “kekerasan” bahan semula jadi yang digunakan untuk membuatnya.

“Bayangkan, sekiranya buah durian gugur dan terkena kepala, memang tidak akan luka atau cedera,” kata Fidelis.

“Kini, ia sering dijadikan cenderahati bagi pelancong yang datang ke Sarawak dan seterusnya dijadikan sebagai perhiasan di rumah,” katanya kepada TVS.

Di Dalat, terendak boleh dilihat menghiasi dinding Bazaarnita Fatima Dalat.

“Saya dapat berbangga setiap kali melihat hasil kerja saya dan ibu saya di Bazarnita Dalat.

“Semasa PKP, sebanyak 183 buah terendak telah kami siapkan untuk memenuhi tempahan sebagai hiasan di sekeliling bangunan Bazaarnita di sini,” katanya lagi.

Terendak biasanya digunakan pada waktu Pesta Kaul dan majlis keramaian sebagai sebahagian daripada busana tradisional kaum Melanau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan