KUCHING, 12 Dis : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) , Voon Lee Shan telah hadir ke pejabatnya di Kuching , pagi ini untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes menawarkan wang tunai kepada pengundi menerusi video yang tular.
Menerusi satu kenyataan media , SPRM berkata, kerjasama Lee Shan diperlukan berhubung siasatan terhadap satu klip video kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak.
” Pihak SPRM di Kuching telah beberapa kali cuba menghubungi beliau namun gagal.
“Hari ini, SPRM berjaya mengesan Lee San di sekitar Kenyalang Park dan menjelaskan kepada beliau keperluan untuk hadir ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan,” jelas SPRM.
Menurutnya, Presiden PBK itu turut diserahkan notis hadir pemeriksaan Seksyen 30(1) (a) Akta SPRM 2009.
Lee Shan yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang hari ini memberitahu Utusan Malaysia bahawa keretanya diekori oleh pegawai SPRM dan beliau telah diminta untuk berhenti selain kunci keretanya dirampas.
Difahamkan, beliau kini disiasat berhubung tawaran memberikan wang tunai RM3,000 kepada pengundi di negeri ini jika mereka menang PRN Ke-12 Sarawak pada 18 Disember ini.
Sementara itu, Lee Shan memberitahu media, beliau disiasat di bawah Seksyen 16 (b) A Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menerima suapan dengan memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau faedah orang lain.
Pada masa sama, SPRM menafikan ahli politik itu ditahan dan mengesahkan Lee Shan telah memberi kerjasama.
SPRM turut menegaskan siasatan yang dilakukan adalah mematuhi etika selain bersifat profesional semasa menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang – undang. -TVS



