MERADONG, 11 Okt : Dalam usaha membanteras kegiatan judi sabung ayam di kawasan sekitar, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong bertindak ‘melupuskan’ peralatan yang digunakan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan (DSP) Sekam Anoi, berkata terdahulu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah telah menyerbu kawasan rumah panjang di Jalan Tanjung Manis kerana disyaki menjalankan aktiviti sabung ayam kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Dalam serbuan itu, seramai lapan individu yang terdiri daripada lelaki berbangsa Cina dan Iban yang berumur dalam lingkungan 33 hingga 63 tahun berjaya ditahan.
“Kesemua suspek yang leka berjudi menyedari kehadiran anggota polis dan mereka bertempiaran lari namun berjaya diberkas,” katanya.
Menurut Sekam, polis turut merampas tiga bilah taji ayam, satu unit penimbang, dua keping papan pertaruhan, serta lima ekor ayam yang mana empat daripadanya telah mati.
“Bagi mengelakkan kegiatan berulang, polis telah membakar peralatan yang digunakan mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, kesemua lelaki berkenaan telah dikompaun sebanyak RM1,500 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021. – TVS

