NEW YORK, 11 Nov : Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Rabu menyambut baik deklarasi bersama China dan Amerika Syarikat (AS) mengenai usaha meningkatkan tindakan berkaitan iklim di Persidangan Glasgow.
“Saya mengalu-alukan perjanjian hari ini antara China dan AS untuk bekerjasama bagi mengambil tindakan #ClimateAction dengan penuh iltizam dalam dekad ini,” lapor Agensi Berita Xinhua memetik ciapan Guterres di Twitter.
“Menangani krisis iklim memerlukan kerjasama dan perpaduan antarabangsa dan ini adalah langkah penting di landasan yang betul,” katanya.
Dua negara kuasa besar itu pada Rabu mengeluarkan Deklarasi Bersama Glasgow China-AS mengenai Meningkatkan Tindakan Iklim pada 2020-an dalam sesi Konvensyen Kerangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim pada Persidangan Perubahan Iklim PBB Sesi ke-26 (COP26).
Kedua-dua pihak berikrar untuk terus bekerjasama dan turut serta dengan semua pihak untuk mengukuhkan pelaksanaan Perjanjian Paris.
Kenyataan itu menyebut mereka bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja untuk meningkatkan tindakan iklim pada 2020-an yang bertujuan menggalakkan kerjasama antara kedua-dua negara dan proses pelbagai hala.
— BERNAMA