Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

BERITA PILIHAN MALAYSIA 09/10/21

ByAkma Salleh
  1. Hari Sukan Negara (HSN) 2021 hari ini disambut meriah di seluruh negara sama ada secara fizikal atau maya bersesuaian dengan norma baharu dalam tema ‘Towards Sporting Nation’ yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pagi tadi. Di Negeri Sembilan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika berucap pada perasmian sambutan HSN 2021 peringkat negeri, menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang tampil sebagai agenda nasional bagi melahirkan rakyat yang sihat dan cergas melalui penganjuran HSN.
  • Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Hari Sukan Negara (HSN) sebagai platform terbaik untuk memupuk dan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia. Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merupakan agensi utama dalam menghidupkan roh dan semangat Keluarga Malaysia yang salah satu daripada nilai konsepnya adalah penyatuan dan perpaduan.
  • Peratusan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu ditingkatkan kepada 60 peratus bagi memastikan negara mempunyai bekalan bakat (Talent Pool) STEM yang mencukupi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba. Memetik Laporan Tahunan 2020 Kementerian Pendidikan Malaysia, beliau berkata peratusan pelajar dalam bidang itu adalah 47.18 peratus dengan 20.51 peratus melibatkan Sains Tulen manakala baki 26.67 peratus bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
  • Kewujudan terlalu banyak parti politik akan menyebabkan rakyat muak dengan kepelbagaian ideologi, perbezaan pendapat yang akan membawa ekonomi negara terus dalam fasa ketidaktentuan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata landskap politik negara seharusnya terus maju ke hadapan dengan mengelakkan penambahan parti politik dan mengurangkan perbezaan ideologi serta pendapat, sekali gus bergerak dalam landasan yang sama untuk memajukan negara.
  • Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor melihat sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dapat membantu usaha merealisasikan hala tuju Pelan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025. Beliau berkata sokongan itu sekali gus dilihat membolehkan ADUN Bebas dan kerajaan GRS dapat bersama-sama memberi fokus kepada perpaduan rakyat seterusnya melonjakkan pembangunan negeri. 
  • Ramai yang teruja menanti pengumuman kebenaran merentas negeri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seiring dengan berita baik itu, rakyat Sabah berharap prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19. Orang ramai, peniaga dan pengusaha pelancongan di Sabah mahu SOP yang lebih tegas memandangkan kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah. 
  • Parlimen perlu meluluskan undang-undang bagi mewujudkan Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas dengan dana mencukupi untuk melaksanakan tugas serta peranan suruhanjaya itu bagi memastikan golongan tersebut mendapat perlindungan sewajarnya. Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkara itu antara isu utama dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan pada Khamis lepas.
  • Hanya 0.89 peratus atau sepuluh daripada 1,126 kes positif COVID-19 di Sarawak hari ini melibatkan jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak. JPBN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 99.11 peratus atau 1,116 kes pula tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan.
  • Kerajaan persekutuan akan memberikan tumpuan khas kepada sektor pelancongan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentang hujung bulan ini, untuk membantu sektor itu pulih semula selepas terkesan akibat pandemik COVID-19. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata industri pelancongan merupakan satu-satunya industri yang paling terjejas dengan pandemik dan paling lambat untuk pulih semula.

SUMBER: BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan