KOTA BELUD, 27 Jun: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sebuah koperasi pelancongan di kawasan Kadamaian menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu.
Majlis penyampaian secara simbolik disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick di perkarangan Pusat Khidmat ADUN Kadamaian.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasa fasiliti komuniti luar bandar bagi penggunaan dewan terbuka dan ruang koperasi agar pelbagai aktiviti kemasyarakatan dapat dijalankan dalam suasana lebih selesa,” katanya.
Ewon berharap sumbangan dalam bentuk kerusi dan meja itu dapat dimanfaatkan untuk penganjuran program sosial, budaya dan komuniti kampung secara menyeluruh.
Katanya, ia mencerminkan komitmen SKM dalam menyokong pembangunan masyarakat luar bandar menerusi pendekatan koperasi serta kerjasama strategik bersama pemimpin dan institusi setempat.
Turut hadir, Pengarah SKM Sabah Haji Efendee OP Andu, Pengarah IKMa Zon Sabah Mohd Razalie Raffae serta Pengerusi ANGKASA Sabah Dr Zhamriee Gulamrasul.
Antara kampung yang menerima sumbangan ialah JKKK Kampung Podos, Kampung Bokilong, Kampung Pangi, Kampung Taginambur Jaya, Kampung Taginambur Batu, Kampung Purak Ogis, Kampung Tuguson, Kampung Bundu Paka, Kampung Lahanas serta Koperasi Pelancongan Sogindai Kiau Berhad. – TVS