MIRI, 9 Jun: Projek Rancangan Tebatan Banjir Miri Fasa 2 bernilai RM50 juta bakal memberikan kelegaan kepada lebih 100,000 penduduk di kawasan bandar Miri yang sering terjejas banjir.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut meliputi kawasan seluas 67 kilometer persegi termasuk Taman Tunku, Pujut Tanjung Batu, Sungai Dalam, Taman Lopeng Baru, Padang Kerbau, Riam dan sekitarnya.
“Kawasan seperti Taman Lopeng Baru, Padang Kerbau dan Jalan ByPass Riam sering dilanda banjir. Saya telah arahkan supaya kerja-kerja dimulakan di kawasan paling teruk terjejas terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat projek di Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Miri, hari ini.
Beliau yang juga ADUN Senadin berkata, kajian menyeluruh telah selesai dan kini sedang menunggu kelulusan tapak sebelum proses tender dibuka selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Antara kawasan yang akan dinaik taraf sistem salirannya adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tunku, Institut Teknologi Riam, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung San, Kampung Lusut Jaya dan pusat komersial Assar.
Projek tersebut adalah lanjutan kepada Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP) Tebatan Banjir Sungai Lutong B yang turut merangkumi kawasan Senadin, menjadikan seluruh Miri diliputi dua projek tebatan banjir utama.
Kim Shin menjelaskan, isu banjir bukan perkara baharu dan sudah ditangani secara berperingkat sejak 2011.
“Statistik menunjukkan kawasan seperti Taman Tunku dan Pujut Tanjung Batu sering dilanda banjir sejak lebih satu dekad lalu.
“Projek ini bukan sekadar pembinaan saliran baharu, malah melibatkan pengambilan tanah persendirian untuk memastikan keberkesanannya. Kita tidak boleh buat kerja separuh jalan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa tempatan supaya memainkan peranan menjaga sistem saliran dalam kawasan perumahan kerana banyak masalah berpunca daripada longkang tersumbat dan mendap.
“DID sudah buat bahagian mereka, sekarang Majlis Bandaraya Miri (MBM) pula perlu laksanakan tanggungjawab mereka,” jelasnya. — TVS