SARIKEI, 6 Jun: Majlis Daerah Sarikei (MDS) akan menganjurkan Program Car Free Morning pada 14 Jun ini di pekarangan MDS dari jam 6:00 hingga 10:00 pagi.
Pengerusi MDS, Kaunselor Stephen Wong Kie Yong berkata, program bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor, selaras dengan usaha menjadikan Sarikei sebagai bandar rendah karbon.
“Selain itu, program ini turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan cergas serta memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan kualiti udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara aktiviti menarik yang akan dijalankan sepanjang program ini ialah Fun Walk, Hari Bersama Pelanggan dan Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai.
Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang program berlangsung, beberapa jalan utama akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula jam 6:00 pagi hingga 10:00 pagi.
“Laluan yang terlibat dalam Fun Walk sejauh tiga kilometer adalah seperti Majlis Daerah Sarikei (MDS), Mercu Tanda Nanas, Nyelong Esplanade, Sarikei Landmark, Taman Layang-Layang dan MDS.
Jalan-jalan utama yang akan ditutup sepanjang program termasuk Jalan Sentral, Jalan Wharf, Jalan Repok, Jalan Seng Lee, Jalan Getah, Jalan Bersatu dan Jalan Nyelong,” jelasnya.
Orang awam dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang disediakan serta mematuhi arahan pegawai polis dan petugas trafik di lokasi. – TVS


