KUALA LUMPUR, 18 Mei: Kerajaan komited memperkasa institusi muzium melalui pendekatan transformasi digital yang menekankan nilai keterangkuman, kebolehcapaian, kelestarian dan kepelbagaian.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha bersama dengan Jabatan Muzium Malaysia ini penting agar muzium kekal relevan dan berdaya saing dalam era teknologi moden.
“Dalam era di mana teknologi meresapi setiap aspek kehidupan kita, adalah penting bagi institusi kebudayaan untuk berkembang seiring dengan jangkaan dan keperluan dunia moden.
“Transformasi digital memberikan peluang untuk kita mengekalkan khazanah warisan negara dan pada masa sama menjadikannya lebih mudah diakses oleh masyarakat tempatan dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025, di Kuala Lumpur pada Ahad.
Menurutnya, muzium bukan sekadar tempat menyimpan artifak sebaliknya menjadi ruang penceritaan, pembentukan identiti dan pemupukan perpaduan masyarakat.
Aaron menjelaskan, antara inisiatif utama yang digariskan termasuk pendigitalan koleksi muzium, penggunaan teknologi realiti maya dan tambahan (VR dan AR), pameran digital interaktif, pembangunan aplikasi mudah alih serta platform atas talian mesra pengguna.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan teknologi digital dalam pameran muzium bagi mencerminkan kepelbagaian budaya dan sejarah Malaysia.
“Kita mahu setiap rakyat Malaysia merasakan muzium ini milik mereka. Oleh itu, penglibatan komuniti dalam aktiviti dan proses membuat keputusan muzium amat digalakkan,” ujarnya..
Majlis itu tadi turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin dan Timbalan Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah, Abdul Ghafar Saad.-TVS