SARIKEI, 12 Mei: Kerajaan Sarawak merangka beberapa strategi untuk membangunkan industri padi dan beras di wilayah ini dengan matlamat mencapai tahap sara diri (SSL) 60 peratus menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usaha tersebut memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk pembangunan dan pemulihan infrastruktur ladang padi.
“Penekanan turut diberikan kepada penggunaan mekanisasi ladang, penggunaan benih padi berhasil tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), biosekuriti, pembangunan modal insan serta penglibatan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Agrofest Pakan 2025 yang berlangsung di Stadium Pakan, hari ini.
Rundi menjelaskan, kementeriannya komited untuk memastikan keterjaminan makanan di Sarawak terutama melibatkan tanaman padi.
“Pada tahun 2023, tahap sara diri beras Sarawak hanya mencapai 32 peratus. Oleh itu, pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Agrofest Pakan 2025 mencatat kejayaan membanggakan selepas berjaya menarik lebih 9,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Kehadiran luar biasa tersebut membuktikan sambutan hangat masyarakat terhadap usaha memperkasa sektor pertanian, penternakan dan industri makanan tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, penganjuran Agrofest selari dengan agenda kerajaan untuk memajukan sektor pertanian, komoditi dan industri makanan sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi luar bandar.
“Agrofest bukan sahaja menjadi platform mempamerkan hasil pertanian dan inovasi tempatan malah turut menggalakkan penglibatan elia, usahawan tani dan komuniti setempat dalam bidang pertanian,” jelasnya. – TVS