KOTA SAMARAHAN, 10 SEPT: Seramai 425 pelajar tingkatan enam dari empat buah sekolah telah menerima bantuan langganan data internet menerusi Program Pemerkasaan Pendigitalan Tingkatan Enam Kawasan Parlimen Kota Samarahan.
Antara sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya, SMK Kota Samarahan, SMK Muara Tuang dan SMK Wira Penrissen.
Menurut Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, program ini bertujuan membantu para pelajar yang terkesan khususnya pelajar tingkatan enam dalam menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Saya turut merasai kepayahan yang dialami oleh pelajar-pelajar ini sejak dunia dilanda pandemik COVID-19.
“Menerusi program ini, saya dapat menyalurkan peruntukan bagi membiayai kos langganan data internet oleh 425 pelajar tingkatan enam dari empat buah sekolah di Kota Samarahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peruntukan Program Pemerkasaan Pendigitalan Pendidikan Tingkatan Enam di pejabatnya.
Dalam perkara berkaitan, beliau juga bersetuju untuk menyumbangkan tablet kepada 80 pelajar yang layak.
“Pandemik ini memerlukan kita untuk mencipta lebih banyak jalan penyelesaian memandangkan ianya telah mengubah gaya hidup kita secara total termasuklah di dalam bidang pendidikan.
“Kita juga sedar bahawa terdapat pelajar yang terpaksa berkongsi peranti dengan adik beradik lain yang turut menjalani PdPR. Oleh sebab itu, saya bersetuju untuk menyumbangkan tablet kepada 80 pelajar yang memerlukan berdasarkan senarai yang disediakan oleh guru-guru tingkatan enam,” tambahnya.
Turut hadir pada sesi penyerahan Susan Nesserd, mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan dan Samsul Alam, Pengetua SMK Asajaya.