KUCHING: Program pembangunan bola sepak di bawah Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sedang menunggu lampu hijau daripada Kementerian Belia Dan Sukan Negeri untuk memulakan pencarian bakat-bakat muda bagi melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti.
Pengarah Teknikal Sarawak United FC B. Sathianathan berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sarawak untuk mendapatkan kebenaran tersebut.
“Suka saya nak maklumkan, kami menerima kerjasama baik dari kementerian sukan Sarawak, dimana Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah selalu menitikberatkan tentang pembangunan bola sepak negeri ini.” katanya ketika dihubungi TVS pada Khmais.
Jelasnya lagi, ketika ini, pihaknya perlu memperhalusi sebuah sistem yang lebih rapi untuk mencari bakat-bakat baharu.
Menurut jurulatih yang berpengalaman dalam kancah Liga Malaysia itu, Sarawak mempunyai ramai anak-anak yang berbakat besar dalam bidang sukan.
Justeru, program pembangunan ini perlu diperluaskan ke seluruh negeri Sarawak dan bukan hanya tertumpu di bandar-bandar besar sahaja.
“Kalau kita lihat pada kejohanan Paralimpik dan sukan-sukan besar kebanyakan atlet yang menyumbang pingat untuk negara adalah atlet dari Sarawak. Saya tahu orang Sarawak memang ada bakat, cuma kita hanya perlu cari bakat-bakat baharu itu.” katanya lagi.