KUCHING, 19 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan beliau memulihkan kestabilan politik negara, yang sekaligus meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau kepimpinan Anwar telah memberi keyakinan baharu kepada rakyat dan pelabur, serta membuka ruang bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan.
“Politik negara kini stabil dan pimpinan negara telah membawa Malaysia ke satu tahap yang tinggi di mata dunia.
“Ekonomi kita terus berkembang, walaupun ada pihak (Amerika Syarikat) yang cuba melaksanakan tarif-tarif tertentu; namun kita ketepikan perkara itu.
“Apa yang penting ialah keutuhan ekonomi negara kita yang diperkukuhkan dengan kepimpinan yang mantap,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025, di Stadium Perpaduan Kuching, di sini, hari ini.
Abang Johari turut menegaskan bahawa kestabilan politik yang dicapai membolehkan Sarawak dan seluruh negara  terus mara selari dengan pendekatan ekonomi baharu yang menekankan kekuatan tempatan.
Dalam pada itu, beliau memuji sikap terbuka Anwar yang sentiasa menyokong usaha pembangunan negeri, termasuk pelbagai pendekatan baharu dalam memperkasa ekonomi Sarawak.
Selain itu, Abang Johari turut menyeru rakyat Sarawak agar terus mempertahankan keharmonian antara kaum dan agama, yang menjadi asas kekuatan negeri ini.
“Ini mencerminkan kehidupan kita sebagai masyarakat majmuk, berbilang kaum dan berbilang agama.
“Kita tetap hidup seperti satu keluarga di bawah satu bumbung. Inilah kekuatan kita, dan kita berharap ia akan terus berkekalan,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri serta pelbagai lapisan masyarakat yang meraikan Hari Raya bersama pemimpin. – TVS