KUCHING, 19 Mac: Sarawak dan New South Wales (NSW), Australia komited memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga hijau.
Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, langkah tersebut merupakan usaha strategik Sarawak untuk membangunkan sumber tenaga negeri ini selaras dengan matlamat kelestarian global.
“Langkah ini juga merupakan usaha meningkatkan akses tenaga, mengurangkan impak alam sekitar dan meletakkan negeri ini sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara,” katanya.
Pertemuan antara kedua-dua pihak tersebut menekankan potensi kerjasama dalam bidang tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar serta menerokai kekuatan kedua-dua wilayah dalam memacu masa depan yang lebih hijau dan lestari.
Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Kanan New South Wales (NSW), Andrew James Parker menyatakan minat untuk mengukuhkan hubungan dengan Sarawak, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian alam sekitar.
“Kami mengiktiraf potensi besar Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui, terutamanya dalam tenaga hidro dan kami melihat peluang besar untuk kerjasama. New South Wales, dengan keupayaan canggih dalam teknologi hijau, sangat berkeinginan untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam memajukan inisiatif tenaga lestari.
“Sebagai salah satu negeri utama di Australia dalam sektor tenaga, New South Wales membawa kepakaran teknologi terkini dan pengalaman yang signifikan dalam memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin, dan hidroelektrik,” kata Parker semasa lawatan tersebut.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan beberapa peluang kerjasama, termasuk pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar, pertukaran kepakaran dalam teknologi penyimpanan tenaga dan promosi inovasi teknologi hijau.
Pertemuan dua hala tersebut menandakan langkah penting ke arah membina hubungan yang lebih kukuh antara New South Wales dan Sarawak, terutamanya dalam bidang tenaga hijau.
Turut hadir, Presiden Dewan Perniagaan Sarawak-Australia (SABC) Rodger Chan dan wakil-wakil agensi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar seperti Sarawak Energy Berhad, PETROS dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar.-TVS