KUCHING, 7 Mac: Program Sumbangsih Raya yang kini memasuki penganjuran kali ke-35, terus menjadi acara tahunan utama Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, sekali gus menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menghargai pengorbanan anggota keselamatan, penguatkuasaan dan badan beruniform.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program ini merupakan usaha berterusan untuk memastikan anggota yang bertugas di barisan hadapan pada musim perayaan, khususnya Hari Raya Aidilfitri, diberikan penghargaan yang sewajarnya.
“Program Sumbangsih Raya ini bukan perkara baru. Ia telah dilaksanakan sejak penubuhan Biro Wanita, dan kini kami telah mencapai tahun ke-35.
“Ia adalah tanda penghargaan Kerajaan Sarawak kepada barisan hadapan yang bertugas memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat, terutamanya semasa hari lebaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2025 di sini, hari ini. Majlis itu disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, dimulakan dengan hanya dua agensi yang menerima 2,000 kotak sumbangan, kini program ini telah berkembang dengan pesat, melibatkan 11 agensi penerima dan 12,000 kotak sumbangan yang diagihkan tahun ini.
Menurutnya, peningkatan jumlah agensi dan kotak sumbangan menunjukkan komitmen Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dalam terus meningkatkan kualiti dan kuantiti sumbangan tersebut, dengan perbelanjaan yang optimum.
Atas saranan isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, jabatan itu pada tahun ini menambah satu produk baharu iaitu mi kolok segera bersama dengan serunding daging, kek buah, kacang botak, kopi segera dan teh segera.
Jelasnya, sumbangan ini adalah satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kepada jasa serta pengorbanan anggota keselamatan dan penguatkuasaan yang bertugas tanpa mengira masa, terutamanya ketika mereka tidak dapat bersama keluarga pada musim perayaan.
“Harapan kami agar usaha murni ini terus mendapat sokongan padu daripada semua pihak, untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim antara Kerajaan Sarawak dan pasukan keselamatan,” katanya.
Pada majlis itu, 11 agensi dan jabatan kerajaan menerima sumbangan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Turut menerima, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak,” katanya.