KUCHING, 12 Jan: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon Bong, atau lebih dikenali sebagai “Kilat Boy,” bersedia mencipta sejarah apabila bakal beraksi di Rentap Fighting Championship (Rentap FC) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Januari ini di Stadium Perpaduan, Kuching.
Daeloniel, yang terkenal dengan kelincahannya, mengakui persiapannya mencabar kerana bakal berdepan lawan bergaya “southpaw,” iaitu petinju kidal dengan sudut serangan yang sukar diramal.
Atlet kelahiran Sri Aman itu bakal berdepan petinju dari Indonesia, Boido Simanjuntak, dalam 6 pusingan, kategori 55 kg, pada 18 Januari ini.
“Lawan baharu kami adalah seorang pemain ‘southpaw’, jadi terdapat banyak perubahan dari segi strategi dan percaturan di gelanggang. Kami cuba untuk lebih teknikal kali ini dan mengelakkan kesilapan kecil.
“Saya jarang bertemu lawan seperti ini, tetapi saya anggap ia sebagai cabaran baharu. Apa yang penting adalah kekal fokus dan tidak terlalu yakin sehingga mengabaikan persediaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Graduasi Akademi DMT Sarawak Batch 10/24 yang berlangsung di Merdeka Palace Hotel, Kuching, pada Sabtu.
Majlis graduasi itu menyaksikan seramai lapan pelatih muda berjaya menamatkan program intensif selama empat bulan, bermula September 2024.
Pelatih-pelatih tersebut dipilih melalui sesi pemilihan yang berlangsung pada 20 hingga 22 Julai 2024, melibatkan hampir 100 individu dengan lebih 40 pendaftaran secara dalam talian.
Namun begitu, hanya lapan individu terbaik dari pelbagai daerah di Sarawak, seperti Miri, Sibu, Mukah, Betong dan Kuching, terpilih untuk mengikuti program ini.
Tambah penyandang tali pinggang Konfederasi Tinju Dunia (WBC) Asia Silver Superbantam Weight 55 kilogram (kg) itu, fokus utamanya kini adalah mengekalkan momentum sambil memastikan persediaan mental dan fizikal berada pada tahap terbaik.
“Kami baru sahaja bertukar lawan kerana lawan asal mengalami kecederaan. Namun, persiapan kami tetap berjalan lancar, dan semuanya dalam keadaan baik,” tambah beliau.
Tahun ini, kejohanan tersebut dijangka menarik perhatian ramai peminat sukan tempur dengan penyertaan atlet antarabangsa dari negara seperti Singapura, Kanada, Kenya, Jerman, Indonesia, Thailand, dan Iran, selain atlet tempatan dari Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.
Lebih menarik, acara ini turut menawarkan dua tali pinggang profesional WBC Muay Thai bagi kategori mini flyweight wanita dan bantamweight lelaki, menjadikannya medan pertarungan yang paling dinantikan oleh peminat dan komuniti sukan tempur. – TVS