Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang pekerja memindahkan ikan untuk dijadikan 'prahok' (pes ikan yang ditapai) di kampung Chrang Chamres di tepi sungai Tonle Sap di Phnom Penh. Foto fail AFP

Kemboja: Musim penyediaan pes “prahok” kembali pada Januari

ByBernama

PHNOM PENH, 4 Jan: Musim yang dinantikan ramai untuk menyediakan hidangan tradisional terkenal Kemboja, “prahok,” kembali tiba beberapa hari selepas sambutan Tahun Baharu.

Secara tradisi, tempoh ini dianggap paling sesuai untuk menghasilkan pes ikan Kemboja menggunakan spesies ikan tempatan.

“Prahok”, yang merupakan makanan istimewa sangat dihargai oleh rakyat Kemboja.

Balang prahok boleh ditemui di setiap kedai dan rumah, memberikan rasa unik kepada hidangan mereka.

Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja pada Khamis mengumumkan bahawa tempoh terbaik untuk menghasilkan ikan diperam dan kering adalah dari 2 hingga 10 Jan, apabila langit cerah tanpa hujan atau ribut petir, lapor Agensi Kampuchea Presse.

Pengarah Royal University of Agriculture’s Division of Research and Innovation, Buntong Borarin berkata rakyat Kemboja biasanya menghasilkan “prahok” pada musim kemarau, khususnya dari November atau Disember hingga Mac.

Namun, ia juga boleh dihasilkan pada bila-bila masa selagi bekalan ikan mencukupi dan cuaca mengizinkan.

“Musim kemarau bertepatan dengan penurunan paras air di Tasik Tonle Sap, yang menyebabkan ikan mudah ditangkap,” kata Borarin kepada Bernama.

Walaupun prosesnya kelihatan mudah, ia sebenarnya memerlukan usaha yang teliti.

Biasanya, ikan kecil seperti “trey riel” digunakan untuk menyediakan pes ini.

Spesies “trey sleuk russey” juga menjadi pilihan lain.

Ikan akan dibuang tulang dan kulitnya sebelum dikeringkan serta diasapkan.

Kemudian, ia dihancurkan menjadi pes dan diperam dengan garam yang banyak.

Pes ini, yang mempunyai bau kuat, mampu bertahan selama setahun atau lebih.

“Trey riel” banyak terdapat di lembangan Sungai Mekong dan Tasik Tonle Sap dalam tempoh ini.

Pada minggu pertama musim ini sahaja, nelayan dilaporkan mampu memperoleh lebih 10,000 tan “trey riel”.

“Musim kemarau menyebabkan paras air di Tasik Tonle Sap surut, menjadikan ikan lebih tertumpu di kawasan air kecil.

“Fenomena ini memudahkan ikan untuk ditangkap, sesuai untuk membuat prahok,” jelas Borarin.

Meskipun prahok mungkin kurang digemari oleh orang asing kerana baunya yang kuat, bagi rakyat Kemboja, ia adalah makanan wajib.

Pes ini biasanya digunakan sebagai perasa atau pencicah dan sering dinikmati bersama nasi atau dicampur dalam penyediaan hidangan Khmer.

“Ia merupakan makanan asas dalam masakan Kemboja dan digunakan sebagai bahan utama dalam pelbagai hidangan.

“Rasanya yang unik dan kaya dengan umami dihargai turun-temurun. Di kawasan luar bandar, prahok menjadi sumber protein dan nutrisi yang penting, manakala di kawasan bandar, ia menghubungkan penduduk kota dengan budaya mereka,” katanya.

Di Malaysia, ia mungkin seakan-akan pelara, di Thailand ia dikenali sebagai “ka-piplaa” , di Filipina sebagai “bagoong” dan di Vietnam sebagai “mam ruoc”.

Bagi kebanyakan orang, baunya mungkin kurang menyenangkan, tetapi bagi yang pernah menikmatinya, pes ini adalah pencicah yang sukar dilupakan! – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan