SEOUL, 1 Jan: Pasukan pembelaan Presiden Yoon Suk Yeol memfailkan injunksi pada Selasa untuk menggantung pelaksanaan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap presiden yang didakwa atas pengisytiharan undang-undang tentera, menyifatkan waran itu “menyalahi undang-undang,” lapor agensi berita Yonhap.
Terdahulu, Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan permintaan daripada Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Tinggi (CIO) untuk mengeluarkan waran terhadap Yoon atas tuduhan mendalangi pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal pada 3 Dis, mengatur pemberontakan dan menyalahgunakan kuasa, menurut CIO.
Mahkamah juga meluluskan waran untuk menggeledah kediaman presiden Yoon di Yongsan, Seoul berhubung siasatan itu.
Yun Gap-geun, seorang daripada wakil perundangan Yoon, berkata waran tangkap dan geledah yang dikeluarkan atas permintaan oleh CIO adalah “menyalahi undang-undang dan tidak sah” kerana CIO “tidak mempunyai hak siasatan” atas tuduhan pemberontakan.
“Adalah mengejutkan dan sukar untuk menerima bahawa waran yang diminta oleh agensi yang tidak mempunyai hak siasatan telah dikeluarkan,” kata Yun kepada pemberita. “Jelas bahawa waran tangkap semasa adalah menyalahi undang-undang. (Kami) kesal dengan keputusan mahkamah.”
Yun berkata pasukan pembelaan memfailkan injunksi kepada Mahkamah Perlembagaan untuk menggantung pelaksanaan waran itu, serta meminta mahkamah tertinggi mengkaji kesahihan waran itu dari sudut perlembagaan.
“(Waran itu) bercanggah dengan prinsip perlembagaan bahawa tindakan presiden sebagai ketua negara tidak tertakluk kepada semakan kehakiman,” kata Seok Dong-hyeon, seorang lagi peguam bela Yoon, sebelum ini.
CIO memfailkan waran tangkap selepas Yoon tidak mengendahkan ketiga-tiga saman untuk hadir disoal siasat berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat itu.
Yun mempertahankan penolakan Yoon terhadap perintah itu, dengan menyatakan bahawa penyiasat tidak berunding dengan mereka untuk menyelaraskan kehadiran presiden.
“(Beliau) tidak menerima layanan istimewa sedangkan beliau seorang yang berkuasa, malah beliau tidak mendapat keadilan,” kata peguam itu.
Yun juga berkata tiada sebab untuk Yoon mengelak daripada siasatan, mengatakan beliau merancang untuk berhadapan dengan mana-mana pihak berkuasa penyiasatan “dengan yakin” dan “mengikut undang-undang” jika mereka mengikut prosedur undang-undang.
Yoon akan membuat pendiriannya mengenai pengisytiharan undang-undang tenteranya pada masa yang “sesuai”, kata peguam itu, sambil menambah beliau mungkin akan hadir pada perbicaraan mengenai pendakwaannya di Mahkamah Perlembagaan sekurang-kurangnya sekali. – TVS


