Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama

PLKN 3.0 dilaksana berdasarkan kajian terperinci, mendalam – Mohamed Khaled

ByBernama

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Kerajaan dan Kementerian Pertahanan telah menjalankan kajian terperinci secara kuantitatif dan kualitatif pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata beberapa kajian akademik itu, bagi mengukur impak pelaksanaan program berkenaan selain statistik penglibatan belia, kadar kepuasan peserta dan pengukuran tahap patriotisme telah menunjukkan hasil positif.

“PLKN 3.0 akan dilaksanakan dengan konsep dan format baharu untuk warganegara Malaysia berumur 17 tahun dan ke atas mulai tahun 2025. Konsep dan format baharu ini mengambil kira penilaian terhadap pelaksanaan PLKN yang terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kepada cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Datuk Seri Saifuddin Abdullah, supaya Kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.

Mohamed Khaled berkata objektif pelaksanaan semula program itu jelas sebagai wadah pembentukan generasi baharu yang menitikberatkan semangat patriotisme, mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawanan.

“Pada masa yang sama, PLKN 3.0 berperanan dalam memupuk minat anak muda menceburi bidang ketenteraan serta menyumbang kepada negara dan atas dasar itu, PLKN 3.0 tidak boleh hanya dilihat sebagai latihan asas ketenteraan semata-mata.

“Tetapi satu program yang turut merangkumi Modul Kenegaraan (Elemen Jati Diri, Elemen Cinta Negara dan Elemen Perpaduan) bagi memenuhi objektif yang telah digariskan,” katanya.

Beliau berkata membandingkan antara PLKN 3.0 dengan program kerahan tenaga negara-negara luar merupakan suatu perbandingan yang tidak setara, memandangkan pelaksanaan program berkenaan lebih memfokuskan kepada perkhidmatan ketenteraan yang aktif untuk satu tempoh yang panjang.

“Bagi memastikan segala kelemahan semasa pelaksanaan PLKN yang terdahulu, Kementerian Pertahanan kini sedang membuat persediaan rapi untuk melaksanakan latihan percubaan dan projek perintis bagi PLKN 3.0 di kem-kem Askar Wataniah yang akan bermula seawal Januari 2025,” katanya.

Dalam meminimumkan perbelanjaan, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan melaksanakan PLKN di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan beberapa politeknik di seluruh negara.

“Kementerian Pertahanan berpandangan bahawa usaha memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukanlah perkara yang bersifat sampingan, sisipan atau secondary kepada negara.

“Secara rumusan, PLKN 3.0 penting dan kritikal dalam pembinaan negara bangsa. Keadaan sekarang merupakan satu situasi yang sangat menyokong dan mewajarkan pelaksanaan semula program ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan