KUALA LUMPUR, 5 Mei: Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Isnin secara rasmi melancarkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 disertai dengan penyerahan watikah pelantikan kepada 10 Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, penubuhan MLKN adalah selaras dengan peruntukan dalam Bahagian 3, Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
“Majlis ini terdiri daripada seorang Pengerusi, lima anggota mewakili kerajaan serta tiga hingga lima wakil dari pelbagai kaum di Malaysia.
“Ini bagi memastikan keputusan yang dibuat bersifat inklusif dan mewakili kepelbagaian masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pra-Pelancaran PLKN 3.0 dan Penyampaian Watikah Perlantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khalid, keahlian MLKN telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkuat kuasa mulai 14 April 2025 hingga 13 April 2028.
Tambah beliau pemilihan ahli MLKN dibuat berdasarkan latar belakang dan pengalaman pelbagai bidang, sekali gus memberi nilai tambah dalam pelaksanaan PLKN 3.0.
“Pelaksanaan semula PLKN 3.0 turut dianggap sebagai simbol komitmen jitu kerajaan dalam membentuk bangsa yang patriotik, berjiwa besar serta mempunyai nilai murni.
“Kementerian ini bukan sekadar menyokong pelaksanaan semula PLKN 3.0, malah bertekad untuk menjayakannya dengan sepenuh hati.
“Kita sedar bahawa cabaran masa kini memerlukan satu intervensi sistematik bagi memastikan semangat cintakan negara terus wujud dalam kalangan rakyat, terutamanya golongan muda,” katanya lagi. -TVS.



