KUCHING, 29 Nov: Program kesedaran teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) anjuran Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) menerusi Hari Kesedaran ICT 2024 adalah langkah untuk memperkasakan generasi muda dalam menghadapi cabaran teknologi masa depan.
Menurut SAINS menerusi kenyataan hari ini, program tersebut adalah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat untuk mempertingkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai teknologi serta perkhidmatan digital terutamanya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Sepanjang acara selama dua jam itu, peserta meneroka pelbagai topik termasuk Kesedaran Keselamatan Siber untuk kekal selamat dalam talian, Pembantu Maya GPT kecerdasan buatan (AI) ‘Dayang’ dan bagaimana ia mengubah interaksi harian.
“Peserta juga mendalami dunia Augmented Realiti (AR) dan Realiti Maya (VR) untuk belajar mengenai aplikasi sebenar teknologi tersebut,” kata SAINS menerusi kenyataan media.
Turut diadakan adalah sesi perkongsian daripada Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat SAINS Dan Fadalini, serta pakar SAINS termasuk Crystal Eleanor dari Cybersecurity and Management Services (CSM), Zul Hafiq dari Data Science Solution (DSS) dan Ivan Kho dari Software & Digital Solutions (SDS).
Ia juga diselitkan dengan aktiviti kuiz interaktif yang menguji pengetahuan peserta serta mencetuskan persaingan sihat.
“Para peserta menikmati peluang untuk belajar daripada pakar dan berhubung dengan yang lain, sambil membawa pulang pengetahuan berharga serta semangat baru terhadap masa depan teknologi digital,” ujar SAINS.
Acara itu menghimpunkan 71 pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Swinburne University of Technology Sarawak Campus, dan i-CATS University College. – TVS