KUCHING, 15 Nov: Persidangan Energy Industries Council (EIC CONNECT) Energy Borneo 2025 merupakan wadah terbaik dalam menghimpunkan pemain-pemain industri serta pakar dalam membincangkan isu berkaitan karbon sifar serta isu berkaitan alam sekitar.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata persidangan yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Februari 2025 di Hikmah Exchange Event Centre ini penting bagi memastikan matlamat Sarawak mencapai status karbon sifar bersih dapat dicapai.
“Denyut nadi Persidangan EIC CONNECT Energy Borneo 2025 adalah komitmen kita untuk menggiatkan usaha dalam perubahan tenaga.
“Untuk mencapai visi masa depan yang lestari, kita perlu kerjasama daripada pelbagai sektor, berkongsi serta bertukar pandangan serta idea inovatif untuk mencapai status karbon sifar dan menyahkarbon operasi kita untuk mencapai status karbon sifar bersih,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan EIC CONNECT Energy Borneo 2025 di sini, hari ini.
Antara topik akan dibincangkan semasa persidangan itu termasuklah Karbon Sifar Bersih sebagai Pemangkin Kemakmuran Ekonomi, Strategi Mengukuhkan Keselamatan Tenaga dan Tindakan Kolaboratif dalam Mencapai Sinergi Serantau.
Persidangan ini kelak akan menghimpunkan lebih 50 penceramah, penyelidik, ahli akademik serta pemain industri yang akan berkongsi pandangan serta hasil dapatan kajian yang diharapakan dapat memberi manfaat kepada pembangunan negeri dan negara serantau.
“Para delegasi boleh menjangkakan banyak peluang untuk perangkaian melalui sesi pemadanan perniagaan secara langsung.
“Ini akan menjadi peluang unik untuk menjalin kerjasama yang dapat membawa inisiatif, seterusnya memberi impak besar dalam sektor tenaga,” katanya. – TVS