Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penganalisis politik, Dr Ahi Sahok

Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda sebelum tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen dipenuhi

KUCHING, 31 Okt: Kerajaan Persekutuan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan 222 kerusi parlimen bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebelum memenuhi tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Penganalisis politik, Dr Ahi Sahok berkata, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI harus mempunyai iltizam politik dalam menunaikan tuntutan tersebut.

Menurutnya, Rang Undang-Undang (RUU) untuk menambah kawasan pilihan raya perlu mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk meluluskannya.

“Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan juga menyediakan proses persempadanan semula kawasan boleh dilakukan.

“Apa-apa pindaan kepada persempadanan semula sama ada kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu terkandung dalam perlembagaan.

“Syarat tersebut di kawasan pilihan raya baharu yang dicadangkan perlu ada tempat untuk penamaan calon, tempat membuang undi dan sebagainya,” katanya.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 25 kerusi dan 31 kerusi tidak mencukupi untuk memenuhi jumlah satu pertiga kerusi di Parlimen berbanding Semenanjung Malaysia mempunyai 166 kerusi.

Menurut Dr Ahi, jika kerajaan bersetuju dengan tuntutan dari Sabah dan Sarawak, beberapa tindakan perlu diambil iaitu mencari formula bilangan kerusi baharu akan diperuntukkan kepada dua wilayah itu.

Tambahnya, memberi arahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencadangkan kerusi Parlimen baharu melalui sesi libat urus dengan parti politik tempatan.

“Daripada input yang diberi melalui sesi libat urus tersebut, barulah SPR boleh tahu nama kawasan Parlimen baharu yang dicadangkan. Sebagai contoh bagi kawasan Bidayuh, terdapat kawasan Parlimen boleh dicadangkan iaitu Puncak Borneo yang merangkumi DUN Serembu, DUN Mambong, DUN Tarat boleh ditambah satu kerusi baharu.

“Begitu juga kerusi Parlimen Serian yang mempunyai DUN Tebedu, DUN Kedup dan DUN Bukit Semuja antara yang boleh dicadangkan untuk penambahan kerusi Parlimen yang boleh dinamakan sebagai kerusi Mayang,” ujarnya sambil menambah Parlimen Stampin yang mempunyai DUN Batu Kitang dan DUN Kota Sentosa juga boleh dipecah untuk membentuk kawasan Parlimen baharu.-TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan