KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kerajaan kini sedang merangka suatu pelan bagi menyatukan tanah dan memulihkan tanah terbiar dan usang getah di kawasan 420,000 hektar yang telah dikesan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata, pemulihan dan usaha pengeluaran di kawasan 420,000 hektar tidak bertoreh ini pada tahap optimum boleh menghasilkan sekitar 585,000 tan metrik setahun.
“Bagi memastikan 420,000 hektar kawasan terbiar dan tidak bertoreh ini dapat diusahakan semula, kerajaan sedang merangka suatu pelan bagi menyatukan tanah dan memulihkan agar dapat diusahakan kembali dan program ini kelak, diusahakan dengan kerjasama agensi-agensi seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELDA, FELCRA, ladang milik kerajaan negeri dan semua pihak berkepentingan.
“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta melalui Belanjawan 2025 dan peruntukan ini bertujuan untuk memulakan program konsolidasi termasuk kos pemulihan ladang terbiar, penyediaan infrastruktur asas seperti jalan ladang dan pusat pengumpulan getah, penyediaan peralatan penorehan serta latihan kepada pekerja tempatan dan asing,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya lagi, dana itu juga akan digunakan untuk pembangunan kluster getah yang strategik dan penambahbaikan sistem logistik serta fasiliti penyimpanan dengan harapan untuk meningkatkan produktiviti dan pulangan kepada pemilik tanah serta pekebun kecil.
Foong Hin turut berkata, kementeriannya mengakui keadaan dan kedudukan semasa sektor getah di negara ini menunjukkan trend penurunan di peringkat huluan (pengeluaran).
“Malaysia kini merupakan negara pengeluar getah asli kelapan di dunia dimana pada tahun 2023, Malaysia mengimport sebanyak 1.002 juta tan getah asli dengan nilai RM5.73 bilion untuk memenuhi keperluan sektor pemprosesan dan pembuatan tempatan dan Malaysia juga adalah pengimport bersih getah asli,” katanya lagi.
Langkah yang diambil kerajaan itu katanya dapat mengurangkan import getah asli dan seterusnya mengelakkan pengaliran keluar mata wang negara. – TVS