MIRI, 10 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengibaratkan Sarawak seperti gula yang dikerumun semut.
Beliau berkata, ia berdasarkan perpaduan yang terjalin dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sarawak.
Menurutnya, perpaduan yang terjalin itu turut menjadi bualan dan contoh kepada negeri lain.
“Selagi kita bersatu padu dan kerajaan kita kuat, kita dapat menaikkan sosioekonomi negeri kita. Alhamdulillah hari ini orang di Kuala Lumpur bercerita mengenai perihal Sarawak.
“Ada antara mereka menyatakan minat untuk tinggal di Sarawak, negeri kita sekarang macam gula, orang Sarawak juga macam gula, bijak pandai (smart),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bas Pintar Miri di sini, pada Rabu.
Sehubungan itu menurutnya, pemimpin di Sarawak akan terus bekerjasama untuk mempertahankan wilayah ini demi kebaikan bersama.
“Demi untuk kebaikan anak dan negeri kita, selagi kita sihat, Alhamdulillah yang penting kesihatan juga. Jika kesihatan tidak berapa kuat bagaimana hendak memimpin? Jadi kita semua kerja kuat demi Sarawak dan masa depan,” ujarnya.-TVS