BARAM, 5 Okt: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang di hutan Kampung Long Laput di sini, ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk ditemui selepas empat hari.
Komander Operasi, Ramzai Talip berkata,hasil perbincangan antara pihak polis Balai Polis Long Lama, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dengan ahli keluarga telah bersetuju untuk operasi ditamatkan bersama dengan agensi penyelamat pada jam 5 petang semalam.
“SAR akan dibuat semula sekiranya mangsa dijumpai atau ada petunjuk sahih ditemui, namun ahli keluarga akan terus berusaha untuk mencari mangsa dengan cara usaha mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa, Michael Asun Atang,40, dilaporkan hilang di hutan pada jam 7.03 malam, 29 September lalu dan gagal dijumpai.
“Sehubungan itu, operas SAR telah dijalankan bagi mencari dan mengesan lokasi mangsa namun tidak sebarang petunjuk dijumpai.
“Dalam SAR semalam pasukan SAR memulakan operasi pencarian bergerak dari Kampung Long Laput ke lokasi PKB mengambil masa lebih kurang satu jam 50 minit menaiki dua buah kenderaan pacuan empat menggunakan jalan darat laluan balak dan sawit,” ujarnya.
Katanya, satu pasukan lagi bergerak menggunakan perahu ke kebun kawan mangsa dengan jarak 30 minit, pencarian tepi tebingan sepanjang sungai dan menggunakan teknik sweeping.
Turut meyertai SAR itu ialah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomna Sukarela Long Laput dan penduduk kampung. – TVS