KUCHING, 3 Okt: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi akan menghadiri tayangan khas filem Takluk: Lahad Datu yang disiarkan di Golden Screen Cinemas, The Spring Mall malam ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Kumpulan Multi Media, Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
“Tun setuju menerima jemputan kami untuk hadir menonton tayangan khas filem Takluk. Filem ini mengisahkan tentang apa yang berlaku di Sabah pada tahun 2013 iaitu berkaitan dengan keselamatan negara.
“Kami menjemput Tun untuk sama-sama berkongsi mengenai pengalaman kami dalam pembikinan filem ini. Kami juga kagum sebab Tun banyak pengetahuan tentang pembikinan filem ini,” katanya.
Beliau turut menjangkakan seramai 244 orang akan menghadiri tayangan khas filem Takluk tersebut yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan Sarawak.
Filem Takluk: Lahad Datu diinspirasikan daripada tragedi yang berlaku pada 11 Februari 2013 mengaitkan krisis diplomatik antara Malaysia dan Filipina selepas 235 pengganas negara itu mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah.
Rentetan itu berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas berkenaan yang turut mengorbankan ramai perwira negara.
Filem ini dibintangi pelakon hebat termasuk Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani dan Eman Manan. -TVS