KUCHING, 20 Sept: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Jalan Ong Tiang Swee yang kini mencapai tahap kemajuan 99.37 peratus siap dijangka beroperasi pada suku pertama 2025.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Permit Menduduki (OP) akan dikeluarkan pada bulan ini setelah pemeriksaan dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam masa terdekat.

“Kita gembira dengan kemajuan projek ini kerana kita mempunyai kontraktor dan perunding yang bagus,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke tapak projek Kompleks UNIFOR di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Uggah juga memberitahu bangunan itu berperanan penting kerana merupakan simbol dasar keterangkuman kerajaan Sarawak.
“Ini merupakan kebanggaan kita di Sarawak dan saya harap UNIFOR ini akan terus memainkan peranan mereka untuk menyatupadukan rakyat di wilayah ini,” katanya.
Kompleks UNIFOR yang bernilai hampir RM80 juta itu akan menyediakan kemudahan seperti dewan yang boleh memuatkan 1,000 tetamu, masing-masing sembilan lot kedai dan pejabat, serta 256 lot tempat letak kereta untuk pelbagai majlis dan aktiviti. – TVS