MIRI, 9 Sept: Projek pengorekan dan kerja mendalamkan saluran akses Kuala Baram merupakan usaha Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) dalam meningkatkan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Pengerusi LPM Dato Paulus Palu Gumbang berkata, ia penting untuk mentransformasikan landskap ekonomi Miri sejajar visi Kerajaan Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Bagi membalas kepercayaan dan sokongan anda, LPM komited memberikan perkhidmatan lebih baik kepada anda dan saya yakin ini akan tercapai terutama dengan projek pengorekan saluran akses Kuala Baram dan kerja berkaitan yang dijangka siap awal 2027.
“Projek Delta Batang Baram adalah penting dengan mentransformasikan landskap ekonomi Miri selaras dengan visi kerajaan untuk menjadi negeri maju,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Hari Kesihatan, Keselamatan Dan Alam Sekitar (HSE) dan Pelanggan di LPM Kuala Baram Miri pada Isnin.
Saluran akses cetek ke terminal Pelabuhan Miri di Delta Batang Baram merupakan sebahagian cabaran yang dihadapi LPM dan Paulus berharap dalam tempoh 33 bulan akan datang, masalah tersebut dapat diatasi dengan mendalamkan saluran tersebut.
“Bagi menjadi sebuah negeri maju, kita bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran dari aspek ekonomi dan teknologi tetapi juga dalam kesedaran tentang kesihatan, keselamatan dan pengurusan alam sekitar,” ujarnya.
Bertemakan Keselamatan Tempat Kerja, Tanggungjawab Semua, program tersebut menekankan keselamatan melibatkan setiap orang dengan memupuk budaya untuk keselamatan dan penjagaan alam sekitar.
Dengan menerapkan amalan HSE dalam LPM menurutnya, pihaknya bukan sahaja berlatih untuk melindungi diri dan memastikan tempat kerja lebih selamat tetapi menyokong pelbagai industri.-TVS



