Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Modus Operandi Berubah-Ubah Tidak Bantutkan Operasi Pihak Berkuasa

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 6 Ogos : Tindakan licik sindiket perjudian haram dalam talian yang mengubah modus operandi mereka gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya mengesan sindiket berkenaan yang kerap menukar premis untuk dijadikan ‘markas operasi’ bagi mengelak kegiatan berkenaan dihidu pihaknya.

” Sebelum ini, mereka menjadikan kedai serbaneka sebagai pusat perjudian, kemudian tukar kepada restoran malahan hotel – hotel bajet di sekitar bandaraya ini turut menjadi pilihan namun pihak polis tetap berjaya mengesan kegiatan haram ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai serbuan aktiviti perjudian oleh anggotanya di sebuah premis di Jalan Poh Kwong, Kuching di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Ahsmon berkata, berdasarkan rekod, sejak Januari hingga Jun tahun ini, polis dengan kerjasama pelbagai agensi lain telah melakukan 304 serbuan dan berjaya menahan seramai 272 individu yang terlibat dengan kegiatan berkenaan.

” Polis turut mengesan sebanyak 238 pusat perjudian haram beroperasi di dalam bangunan yang mempunyai premis manakala 66 lagi di luar bangunan,” katanya.

Beliau turut memberitahu, langkah memotong bekalan elektrik di kesemua premis berkenaan akan bermula hari ini sehingga selesai.

Pada masa sama, Ahsmon berkata, pihaknya juga sentiasa memantau kemungkinan bekalan elektrik yang dipotong itu akan disambung semula atau sebaliknya bagi mengelakkan kegiatan sama berulang.

“Peruntukan undang-undang membenarkan pihak polis untuk memohon daripada Sarawak Energy Bhd. bagi memotong bekalan elektrik di premis yang terlibat dengan kegiatan perjudian dinyatakan dalam Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 . Kita boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang -undang ini,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan